Oleh kerana restoran ni mendapat maklumbalas yang positif dari pelanggan/bloggers,
Yong sebagai salah seorang penduduk Bangi yang kerap kali lalu di hadapan restoran ini,
tidak mahu ketinggalan untuk mencuba kesedapan ikan bakar  seperti yang digembar-gemburkan.

Walaupun baru sahaja pulang dari menikmati makanan laut di Bagan Lalang,
tetapi oleh kerana perasaan ingin mencuba agak kuat,
Yong nekad untuk singgah di Restoran Ana Ikan Bakar Petai.

Sebelum bertolak pergi dari rumah,
Yong sudah membaca beberapa review dari bloggers tentang kehebatan restoran ini.
Ada yang membuat kesimpulan, inilah restoran makanan laut yang terbaik.
Ada juga yang menulis, sambal petainya terlampau sedap, rasa mahu dibawa pulang.
Benarkan seperti yang dikata?

Setibanya di sini, tempat meletak kereta sudahpun penuh, walhal jam menunjukkan baru pukul 7 malam.



Ikan2 dan makanan laut lain masih banyak. Mungkin kami tiba agak awal.

Agak menarik bila pangkin ikan ni penuh dengan ikan2 segar, sotong, kepah, udang dan lain. Saiz udang dan sotong yang agak besar memang memancing hati.
Mulut terkumat kamit berbincang apakah masakan yang sesuai untuk udang/sotong/ikan yang segar2 ni.


Oleh kerana mengenangkan kata2 dari bloggers yg memuji2 masakan disini,
kami sabar menunggu 45 minit hanya untuk semangkuk nasi.
Lauk pauk pula tiba 30 minit selepas itu.

Total waiting time: 75 minutes


Makanan pertama yang tiba, kerabu mangga.
Yong puji rasa kerabu mangga ni, malah Danish pun meratah kerabu ni macam makan mi.
Masam manis dari mangga, sedikit pedas cili, masin dari stok ikan, dan lemak kacang tanah tumbuk, membuatkan kerabu ni pembuka selera yang terbaik dari ladang..haha!!


Terung Goreng Belacan juga tidak menghampakan.


Udang Masam Manis. Malangnya, disebabkan saiz udang ni agak besar,
kemungkinan tukang masak gagal mengagak masa yang diperlukan untuk memasak udang sepenuhnya.
Isi udang ni hanya separuh masak, liat. Kuahnya juga rasa seperti sos tomato campur sos cili.
Tidak ada yang istimewa.


Sotong goreng tepung ni agak sedap bila dihidangkan dengan pencicah kuah cili.
Walaupun agak liat, tapi salutan tepung rangup yang enak membuatkan tangan ni cepat saja mengutip satu persatu potongan sotong ini untuk disuap ke mulut.


Yong agak cerewet kalau merasa masakan ikan. Ikan siakap masak stim menjadi pilihan cara masakan untuk kali ini. Oleh kerana siakap yang disediakan untuk pelanggan adalah segar, sebaiknya cara terbaik untuk menikmati isi ikan yang manis ni, adalah dengan memasaknya secara kukus.

Ikan siakap masak stim yang paling sedap yang pernah Yong makan ialah di salah satu restoran di Port Dickson. Jadi Yong mengharapkan agar masakan disini sebaik yang Yong harapkan.

Hampa hati Yong bila ikan ni dikukus tak kena cara, kerana manis ikan hilang,
dan sup yg membanjiri ikan ni tidak punya rasa apa2.
Tawar, tidak masam, tidak masin, juga tidak ada manis ikan.
Yong tak mampu menghabiskan hidangan ini kerana ianya tidak mempunyai apa2 rasa.
Macam makan dadih soya tanpa gula.


Inilah hidangan terakhir yang tiba ke meja kami,
juga membuatkan Yong tak mahu datang lagi ke restoran ini.
Hidangan ini adalah speciality untuk restoran ini, juga terletak pada namanya Ana Restoran Ikan Bakar Petai. Yong meletakkan harapan agar Ikan Pari Bakar Petai ni bakal mengunci hati dan perut kami untuk terus datang ke restoran ini.

Alangkah kecewanya hati Yong bila petai yang digunakan adalah petai tua,
dan kuantitinya pun tidak dapat menaikkan bau petai. Sangat sedikit.

Walaupun begitu, Yong tetap meletakkan harapan positif untuk sambal yang diwar-warkan sebagai yang terbaik.

"Uhukk..uhuk...khakk...khakkk!!""

Ya ampun...hancingnya isi ikan pari ni,
hampir tak bernafas Yong menahan bau hamis yg melekat di lidah dan tekak.
Cepat2 Yong bangun untuk mengambil segelas air bagi mengurangkan bau itu.

Yong fikir, mungkin isi yang Yong ambil tak berapa segar.
Yong ambil satu lagi potongan isi ke dalam pinggan.
Kali ni memang Yong nak termuntah terus.
Ketika Yong menulis entri ni pun, Yong masih dapat mengingat dengan jelas bau dan rasa hamis tu.
Bukan mudah untuk melupakannya.


Sayang sekali, hidangan terakhir, signature dish untuk restoran ini jugalah menjadi penutup selera Yong untuk dari datang lagi ke sini. Walaupun begitu, Yong tak nafikan pilihan makanan laut di sini segar seperti di jeti/pengkalan. Harga yang perlu dibayar untuk semua makanan di atas juga tidaklah terlalu mahal. Hanya RM144 sahaja.

Tetapi, untuk datang lagi..mungkin tidak. Si pari petai telah membunuh pari2 ini. Not literally though.


Disclaimer: 

1) Ulasan yang ditulis di blog ini adalah berdasarkan pengalaman sebenar, pendapat peribadi penulis dan mungkin juga bergantung kepada selera penulis sendiri.

2) Rasa itu adalah subjektif. Penulis tidak dan tak akan bertanggungjawab jika pengalaman anda berbeza atau tidak seperti yang diharapkan.

3) Pendapat dan komen adalah dialu-alukan. 

4) Kepada pemilik restoran/gerai/kiosk, sekiranya ulasan yang diberikan adalah negatif, sila ambil perkara tersebut sebagai satu ulasan yang prihatin dari pihak penulis. Penulis mengulas dari sudut pandangan sebagai seorang pelanggan.

5) Penulis tidak menerima sebarang bayaran samada dalam bentuk wang atau bukan wang bagi menulis ulasan ini.