Kali terakhir aku menulis di ruang ini ialah pada bulan Disember 2012.
Sekarang sudah menghampiri penghujung Ogos 2014.
Hampir 2 tahun aku membiarkan laman in bersawang.
Aku cuma aktif di laman sosial fb, menulis, meluah, berkongsi cerita di situ.

2 tahun di facebook, aku dapat melihat pelbagai ragam manusia.
Ada yang betul2 boleh jadi kawan sembang, ada yang aku sendiri takut nak berbalas tegur kerana gambar profile yang digunakan macam sex offender. Ada juga yang jadi obses dengan setiap post yang aku tulis mahupun kongsi. Habis semua di'like', sampai satu tahap aku terpaksa menegur, hanya like jika betul2 suka, atau habis baca, atau habis tengok video yang dikongsi. Ini tidak, baru je share video yang durasinya 1 jam, tak sampai 1 minit share, dah dapat 'like'. Bila ditanya kenapa 'like', sesaja suka katanya.

Kemudian aku terima permintaan dari sahabat fb yang mahu aku kongsi semula status yang pernah aku tulis beberapa bulan lepas. Dah sudah! Aku pula menulis setiap hari, adakalanya mencecah 3 post sehari. Berpinar2 mata mencari mana la perginya post lama tu. Kalau tahu tarikh sekalipun, jenuh juga nak scroll.

Sejak kebelakangan ini pula banyak topik negatif dipampangkan di facebook.
Isu perang di Gaza, Syria. isu boikot. Politik Malaysia. Anti vaksin. Macam2 lagi. Lelah minda membacanya. Jika perang berlaku, ada kemungkinan ia boleh bermula di facebook. Hujung mata pena lebih tajam dari mata pedang. Sekarang ini bukan lagi pena, tapi hujung jari yang menekan keyboard.

Apabila jiwa penat berlawan pendapat dengan keyboard warrior, maka lebih baik aku kembali menggunakan platform ini untuk menyambung minat aku. Minat terhadap fotografi dan penulisan santai.